Friday, 6 December 2013

Laporan Konvensyen Kepimpinan Dan Fiqh Wanita Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013

Kehadiran lebih 200 peserta ternyata menyerikan Konvensyen Kepimpinan Dan Fiqh Wanita Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013 yang berlangsung di Penang Golf Resort, Bertam pada 28 November 2013 lalu. Program yang dirasmikan Exco Agama Negeri Pulau Pinang, YB Dato' Abdul Malek Abul Kassim itu adalah yang julung kali diadakan di negeri ini dan diurusetiakan Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.


 
Konvensyen Kepimpinan Dan Fiqh Wanita dimulakan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk " Wanita Solehah Pendamai Dunia"  oleh Dr Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Penceramah tersohor ini berjaya memukau para hadirin dengan penyampaiannya yang padat dan bersahaja. Topik ini dikupas dengan rapi sehinggakan para peserta tidak sedar masa satu jam terasa amat pantas berlalu.
 



  Antara topik lain yang dibincangkan sepanjang konvensyen ini ialah "Wanita Dan Undang-Undang" oleh Peguam Sharifah Jahaya, "Wanita : Kesihatan Dan Gaya Hidup" oleh Dr Aishah Tul binti Lebai Hussain dan  "Wanita Berkerjaya dan Implikasinya Terhadap Dekadensi Moral Dari Sudut Perspektif Islam" oleh Dr Ahmad Bashir Aziz.
 




Pada sessi petang pula, para peserta dihidangkan dengan Diskusi Interaktif bertajuk "Tangan Yang Menghayun Buaian Mampu Menggegar Dunia" yang menampilkan panelis terkenal, Tuan Syeikh Mohd Yusof bin Haji Ahmad dan Ustazah Nazrah Yusof. Diskusi yang dikendalikan Ustaz Mohd Fadzil Alias itu sarat dengan maklumat dan ilmu yang bermanfaat sambil diselitkan unsur humor oleh kedua-dua panelis.